14 May 2008

Pengenalan Rungus Momogun

Pengenalan

Apakah yang disebut sebagai Rungus? Momogun?

Masih banyak warga Momogun Rungus di luar sana yang tertanya-tanya,di mana asal usul saya? Apa legenda kaum saya? Laman web ini pastinya dapat membuat anda tertanya-tanya tentang apa yang menarik mengenai suku kaum Rungus.Bagi pencinta sejarah dan seni, maklumat yang dipaparkan dalam laman ini sudah pasti dapat mengupas persoalan anda tentang adat resam, kebudayaan, sejarah dan lain-lain lagi mengenai suku kaum Rungus yang terperuk di hujung Borneo ini.

Setiap butiran maklumat yang dipaparkan dalam laman ini amat berharga buat semua khususnya genarasi muda suku kaum Rungus untuk mengenali bangsa mereka sendiri. Jika kita perhatikan di sekeliling kita, kebanyakan generasi muda zaman sekarang sudah hilang identiti bangsa masing-masing. Contoh paling dekat adalah generasi muda suku kaum Rungus yang tidak tahu akan kebudayaan sendiri. Lebih menyedihkan lagi, ada yang langsung tidak tahu berbahasa Rungus sedangkan bahasa itulah yang melambangkan identiti mereka sebagai bumiputera Rungus.

Dalam era globalisasi ini,bangsa Momogun Rungus berada dalam persimpangan identiti. Bangsa Momogun yang dahulunya serumpun kini berpecah menjadi Kadazan Dusun Murut. Hanya Momogun Rungus sahaja yang masih menggunakan nama bangsa Momogun secara rasmi. Dalam persimpangan identiti yang dicetuskan oleh ketidaktahuan sejarah bangsa sendiri,maka lahirlah kekeliruan yang mendalam pada bangsa Momogun hari ini.

Menurut Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan (1987) Institut Linguistik S.I.L melaporkan bahasa Rungus dipercayai termasuk dalam bahasa Austronesian keturunan Bornean dari keturunan asal Austronesian.Momogun Rungus kadang-kadang dipanggil sebagai "Momogun", "Dusun Dayak", Melobong Rungus", "Memagun" atau "Memogun" kadang-kadang juga di panggil sebagai "Roongas", "Rungus", "Rungas" dan "Dusun Laut".Semuanya merujuk kepada bangsa Momogun Rungus.

Asal perkataan Momogun di percayai dari segi kepercayaan Agama Labus (pagan) iaitu dari perkataan "PENDUDUK ASAL POGUN NABALU".Momogun diambil dari perkataan POGUN (Dunia). Rungus pula diperolehi sempena nama Aki Rungsud yang mengetuai Pompod Tana setelah diarah oleh Aki Nunuk Ragang.

Menurut mitos Agama Labus Momogun adalah hasil perkataan dari pekerjaan Kinoringan (Allah Pencipta). Ini kerana Kinoringan menaburkan bangsa Momogun di sekitar Gunung Kinabalu (Pampang Nabalu) dengan perkataan yang digunakan "NIASOK". Momogun adalah Asok pertama dan tiada lagi Asok yang lain selain MOMOGUN. Asok bermakna "menabur benih". Menurut kepercayaan itu Momogun adalah Sakag(benih tani) yang ditaburkan seumpama benih pertanian Tuhan sendiri.

Pasok Momogun bermakna "benih atau zuriat tetap bumi di bawah Gunung Kinabalu". Jika orang Momogun menanam padi di ladang mereka menyebutkannya sebagai "MANGASOK". Pasok Momogun merujuk kepada kepercayaan mereka dalam Agama Labus bahawa KINORINGAN sebagai pencipta segalanya di alam semesta dan "Zuriat pertama atau bangsa pertama yang direncanakan oleh Tuhan Pencipta" bagi menghuni kawasan Gunung Kinabalu sehingga ke pesisir pantai adalah Bangsa Momogun.

Momogun adalah satu perkataan yang membawa makna mempunyai kuasa ke atas tanah atau dunia yang Kinoringan mereka berikan pada bangsa mereka. Mereka menganalogikan pekerjaan Kinoringan seperti menabur benih maka jadilah perkataan "PASOK MOMOGUN RUNGUS".

Kita tidak patut persalahkan ibu bapa 100% jika generasi muda sekarang buta tentang adat resam dan kebudayaan bangsa mereka sendiri. Generasi muda ini sepatutnya tahu mengambil inisiatif untuk meningkatkan jati diri bangsa.Seiring dengan kemajuan teknologi perkomputeran dan jaringan maklumat di hujung jari, pencarian identiti bangsa itu sepatutnya bukan hal yang patut diremeh-temehkan.

Oleh yang demikian, laman web ini pastinya memberi jawapan kepada pencarian anda selama ini.Cintai dan peliharalah budaya kita..

Intutunai kondiri, ihimo kivusidwo..
KENALI DIRI, CARI IDENTITI..

2 comments:

IsOn said...
This comment has been removed by the author.
IsOn said...

Kimaragang juga masih menyebut diri mereka Momogun.